Lelaki parah tersepit celah lori, jentolak mini tergelincir

SEORANG lelaki cedera parah apabila jentolak mini yang cuba dibawa masuk ke dalam lori satu tan tergelincir dan menyebabkan dia tersepit di celah lori berkenaan di Jalan Bintang, Taman Koperasi Bahagia, di Batu Pahat, Johor petang semalam.

Mangsa yang berusia 51 tahun tersepit di celah lori selepas jentolak mini yang cuba dialihkannya itu terjatuh dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang.

ANGGOTA bomba dan penyelamat membantu lelaki yang tersepit apabila sebuah jentolak mini dari sebuah lori satu tan tergelincir di Taman Koperasi Bahagia, di Batu Pahat, Johor petang semalam. GAMBAR: JBPM Renggam

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan I Ikhsaan Husaini Mahat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.35 petang.

Beliau berkata, sebaik sahaja menerima panggilan, sebuah  jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Perkhidmatan Penyelamatan, Perubatan, Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi sejauh dua kilometer dari balai.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa cuba melakukan kerja-kerja mengalih jentolak mini yang digunakan bagi kerja-kerja menebang pokok ke atas lori menggunakan ramp.

“Bagaimanapun, salah satu rantai roda jentolak mini itu tergelincir menyebabkan mangsa tersepit antara jentera dan bahagian bumbung lori terbabit,” katanya.

Tambah Ikhsaan Husaini, anggota bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, anggota bomba memberikan bantuan awal (CPR) kepada mangsa sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk menerima rawatan lanjut.

“Operasi dapat dikawal pada jam 7 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img