MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim dimasukkan ke hospital hari ini, dipercayai akibat keletihan melampau.
Tanpa memperincikan perkara itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu memaklumkan bahawa doktor menasihatkannya supaya berehat seketika.
“Berminggu-minggu sibuk bekerja, akhirnya terpaksa masuk hospital pada hari keempat Tahun Baharu Cina.
“Doktor nasihatkan agar berehat seketika,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook beliau hari ini.
Bagaimanapun, Sim berkata, beliau akan kembali dengan lebih kuat, tidak lama lagi.
“Kebaikan akan menyusul selepas musibah,” katanya.
Hantaran Sim itu mengumpulkan lebih 4,900 like dalam tempoh sejam, dan lebih 1,600 komen oleh rakyat Malaysia yang mendoakan beliau sembuh dengan segera.
Sementara itu, seorang pegawai media beliau ketika dihubungi Bernama berkata, pihak mereka hanya dimaklumkan mengenai keadaan Sim selepas menteri berkenaan dimasukkan ke hospital.
Beliau yang enggan namanya ditulis berkata, setakat ini, keluarga Sim tidak mendedahkan secara terperinci punca menteri itu dimasukkan ke hospital, namun dipercayai kemungkinan berpunca daripada keletihan melampau.
“Keadaan beliau tidak serius, cuma terlalu letih,” katanya sambil memaklumkan bahawa pihak keluarga mahu Sim diberi ruang untuk berehat sepenuhnya.


