TINDAKAN keluar parti dan membubarkan bahagian berterusan dalam Bersatu yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila hari ini dua lagi bahagian berbuat demikian iaitu Subang, Selangor dan Pasir Salak, Perak.
Dalam kenyataannya, kepimpinan Bahagian Subang mengumumkan peletakan jawatan secara kolektif berkuat kuasa serta-merta, sekali gus membubarkan jawatankuasa bahagian serta seluruh cawangan di bawah seliaannya.
Keputusan itu diambil atas prinsip perjuangan yang didakwa tidak lagi selari dengan mandat serta aspirasi ahli di peringkat akar umbi.
Menurut kenyataan tersebut, masa depan sesebuah wadah perjuangan politik tidak seharusnya bersandarkan kepada kelangsungan kelompok kecil, sebaliknya perlu berpaksikan mandat rakyat dan suara akar umbi sebagai nadi kekuatan parti.
“Keputusan kolektif ini diambil dengan berat hati namun penuh tanggungjawab. Kami mendapati hala tuju serta keputusan yang diambil pimpinan tertinggi kini tidak lagi selari dengan mandat serta aspirasi ahli di peringkat akar umbi,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa apabila visi perjuangan asal mula terhakis, integriti menuntut mereka untuk mengundur diri secara terhormat.
Sehubungan itu, barisan kepimpinan bahagian berkenaan turut mengumumkan pembubaran Jawatankuasa Bersatu Bahagian Subang serta pembubaran seluruh jawatankuasa di peringkat cawangan berkuat kuasa serta-merta.
Antara pimpinan yang meletakkan jawatan ialah Ketua Bahagian, Asyraf Halim; Timbalan Ketua Bahagian, Mohd Shahril Hashim; Naib Ketua Bahagian, Iskandar Al Quyyum; Timbalan Pengerusi Tetap, Azhari Yusof; Setiausaha, Wan Ahmad Shukrie dan Bendahari, Adleezan Pakhalan.
Turut berundur ialah Ketua Penerangan, Muhammad ‘Afifurrahman; Ketua ARMADA, Mohamed Rizwan; Ketua Sayap Bersekutu, Wong Yong Kang serta beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk Mohd Hafiz Md Azuz, Mohd Shafiq, Na’el Baredhwan, Muhamad Zalimi, Zuraime Sarpin dan Syafiq Mohd Zin.
DI PASIR SALAK, seluruh AJK Bersatu Bahagian Pasir Salak turut membuat keputusan meletak jawatan serta keluar parti selepas mesyuarat khas bahagian berkenaan semalam.
Pemangku Timbalan Ketua Bahagian, Mohamad Zahid Aman Nauri berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas bahagian itu semalam dan mendakwa secara rasminya bahagian Pasir Salak terbubar.
“Tindakan ini dilakukan atas faktor kami hilang kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai {residen,” katanya.
Beliau berkata, turut meletak jawatan dan keluar parti bersama beliau ialah Timbalan Ketua Bahagian selaku Pemangku: Naib Ketua Bahagian, Mohamad Zainal Abidin Saini; Setiausaha Bahagian, Abdul Manaf Saud; Bendahari, Mohamad Aiman Abdul Majid; Ketua Penerangan, Nor Azman Askar.
‘’Turut berbuat demikian ialah Ahli Jawatankuasa, Sazali Ismail; Ahmad Razali Sulamat; Baharudin Osman; Izuddin Isa; Hamdan Rahim; Mohamad Kamil Adnan; Abu Bakar Ismail; Mohd Ali Sahrum, Prof Shamsul Nahar Abdullah. Empat AJK lantikan, iaitu Mohamad Saimi Sulaiman, Najib Mustafa, Nuraini Nadi dan Mohamad Hazir Tayib,” katanya.


