JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah bas ekspres selepas mendapati pemandunya tidak mempunyai lesen memandu dan lesen vokasional yang sah.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, bas terbabit disita dalam pemeriksaan Ops Tahun Baru Cina 2026 di Terminal Bas Shahab Perdana, Mergong, Alor Setar, pada jam 9.22 pagi semalam, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pemandu bas terbabit yang berusia 26 tahun diambil tindakan dan hasil siasatan lanjut mendapati bas berkenaan pada asalnya berdaftar sebagai bas persiaran dan sudah pun memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS) sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina untuk beroperasi sebagai bas ekspres.
“Namun, kenderaan itu didapati beroperasi di luar kawasan yang diluluskan dalam lesen berkenaan.
“Bas yang berdaftar di Selangor itu dipercayai hendak bergerak dari Alor Setar ke Teluk Intan, Perak dengan membawa 31 penumpang.
“Bas itu kemudian disita dan dibawa ke depoh sita JPJ Kedah dan pihak JPJ meminta pengusaha bas menyediakan bas ganti serta pemandu ganti yang memiliki lesen memandu dan lesen vokasional yang sah untuk meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Stien berkata, pemandu bas itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tiada lesen memandu dan Seksyen 56 APJ 1987 kerana tiada lesen vokasional.
“Selain itu, pengusaha bas pula akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(1)(b)(i) Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana beroperasi di luar laluan yang disyaratkan.
“Hukuman jika sabit kesalahan, denda tidak kurang daripada RM1,000 tetapi tidak lebih daripada RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.


