DUA pengarah syarikat pengeluar sofa dan perabot didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini atas 58 pertuduhan gagal membayar cukai jualan bagi tempoh bercukai antara 2019 hingga 2024.
Orang Kena Saman (OKS) Ng Eng Chen, 64, dan Lim Paik Eng, 62, sebagai ahli lembaga pengarah yang turut mewakili syarikat terbabit bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, syarikat Seng Cushion Sdn Bhd sebagai Orang Berdaftar (No SST: P13-1808-21024466) didakwa gagal membayar cukai jualan bagi 29 tempoh bercukai membabitkan jumlah cukai RM228,812.83 dan penalti RM91,525 dengan jumlah keseluruhan RM320,337.84.
OKS didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya antara 2019 hingga 2024.
Sehubungan itu, OKS didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26 (5) Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806) yang dibaca bersama Seksyen 26 (9) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari JKDM, S Bakialetchumy dan Mohd Hanizal Mohd Hassan manakala OKS tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.


