Kerajaan diperintah bayar RM5.63 juta kepada kanak-kanak alami kerosakan otak ketika lahir

KERAJAAN diperintahkan membayar ganti rugi RM5.63 juta kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang mengalami kerosakan otak serius ketika dilahirkan di Hospital Teluk Intan pada 2017.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet berkata, kanak-kanak itu yang kini hidup dengan cerebral palsi spastik kuadriplegik (lumpuh) berhak menerima pampasan menyeluruh meliputi perbelanjaan lalu serta keperluan perubatan, pemulihan dan penjagaan sepanjang hayatnya.

Menurut dokumen mahkamah, kanak-kanak itu selaku plaintif dilahirkan pada 22 Januari 2017, namun mengalami kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak ketika proses kelahiran yang mengakibatkan hipoksik iskemik ensefalopati.

Kanak-kanak itu sehingga kini tidak mampu bergerak sendiri dan perlu disuap ketika makan. Dia hanya boleh menggerakkan kedua-dua tangan untuk seketika.

Sejak lahir, plaintif bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Kanak-kanak itu, melalui bapanya, memfailkan saman sivil terhadap kerajaan dan 15 doktor sebagai defendan.

Pada 22 Ogos 2022, kerajaan mengakui liabiliti dan mahkamah hanya perlu menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar.

Dalam menilai ganti rugi, mahkamah menerima keterangan pakar yang tidak dicabar daripada pakar perubatan pemulihan, Dr Aishah Ahmad Fauzi, dengan menyatakan pihak kerajaan tidak memanggil saksi pakar mereka.

Hakim memutuskan keterangan pakar yang tidak dibantah mesti diterima melainkan dibuktikan tidak munasabah.

Komponen terbesar dalam anugerah itu adalah keperluan penjagaan dan penginapan jangka panjang berjumlah RM3,076,797.

Ini termasuk kos menggaji pembantu rumah sepenuh masa, penjagaan kejururawatan, penjagaan sementara (respite care) untuk ibu bapa, pembelian rumah teres yang sesuai serta sebuah kenderaan pelbagai guna yang dilengkapi lif kerusi roda hidraulik.

Mahkamah turut menganugerahkan RM942,886 bagi konsultasi dan terapi perubatan masa hadapan, RM399,586 untuk ubat-ubatan masa hadapan, RM387,004 untuk peralatan dan alat bantuan, serta RM65,000 bagi pembedahan akan datang.

Mahkamah juga menganugerahkan RM168,873 sebagai ganti rugi khas, RM192,384 sebagai ganti rugi sebelum perbicaraan dan RM400,000 sebagai ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan serta kehilangan nikmat hidup.

Selain itu, mahkamah memerintahkan bayaran kos sebanyak RM120,000 kepada plaintif.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img