Pemandu e-hailing didenda RM500 buang puntung rokok di tempat awam

SEORANG pemandu e-hailing didenda RM500 oleh Mahkamah Sesyen Langkawi, hari ini, selepas mengaku salah membuang puntung rokok di tempat awam, awal Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Faisal Endan, 39, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad, lapor Berita Harian.

Dia didakwa membuang puntung rokok di tempat awam dan bukannya ke dalam bekas disediakan di Jalan Pantai Chenang, kira-kira jam 2.10 petang pada 1 Januari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 dan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SWCorp, Muhamad Shukor Bakar dan Muhammad Syarihul Mohd Dzahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal termasuk perintah khidmat masyarakat sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak membuang sampah sesuka hati.

Dalam rayuannya, tertuduh yang menetap di Kuala Lumpur memohon hukuman ringan atas alasan bekerja sendiri serta menyesal dan berjanji tidak mengulangi perbuatannya.

Mahkamah memutuskan denda RM500 atau penjara dua minggu jika gagal membayar.

Tertuduh membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Langkawi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img