SEORANG lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Jinjang, Kuala Lumpur pada 16 Februari lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Yong Kuen, 67, selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, Kuen melakukan khianat dengan menumbuk skrin mesin ATM sehingga retak terminal ID FDHZ Maybank Cawangan Jinjang Selatan di Jalan Kepong, kira-kira jam 8 pagi, 16 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh pula diwakili peguam, Cheah See Yan.
Terdahulu See Yan memberikan penjelasan panjang kepada anak guamnya hingga memaksa mahkamah menangguhkan prosiding tersebut sebanyak tiga kali.
Ini kerana tertuduh tidak memahami prosedur mahkamah bagi pertuduhan perbuatan khianat itu.
“Anak guam saya memberitahu perbuatan itu dilakukan kerana dia gagal mengeluarkan duit daripada ATM walaupun mempunyai beribu ringgit di dalam akaun bank,” katanya kepada pemberita.
See Yan turut memaklumkan anak guamnya bekerja sebagai tukang cat secara kontrak dengan bayaran RM160 sehari.
Selain itu, tertuduh juga sudah bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan yang sudah bertahun-tahun tidak dihubungi.
Beliau juga memaklumkan mahkamah anak guamnya cuba menghubungi kakaknya beberapa kali bagi urusan jaminan, namun gagal dihubungi.
Memandangkan tiada pengakuan direkodkan, pihak pendakwaan tidak mencadangkan tertuduh diberi jaminan.
Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap awal bulan.
Majistret turut menetapkan 7 April depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.


