KEMENTERIAN Komunikasi tiada halangan jika Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) digunakan oleh penjawat awam yang terlibat pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April nanti.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia memandangkan pusat berkenaan selama ini turut dimanfaatkan oleh pelbagai agensi dan jabatan bagi menjalankan mesyuarat dalam talian dan sebagainya.

“Saya akan selaraskan dengan semua NADI di bandar utama yang berkait dengan pengumuman dasar BDR ini untuk menjadi tempat sekiranya komuniti ingin datang sama ada untuk bekerja.
“Mereka boleh memanfaatkan fasiliti dan internet yang ada dan mereka juga boleh memanfaatkan NADI sebagai rumah kedualah untuk mereka jadikan tempat mereka bekerja.
“Memang pada waktu ini, banyak NADI yang dimanfaatkan untuk tujuan ‘online meeting’ bagi badan dan agensi seperti Amanah Ikhtiar dan lain-lain. Jadi, saya tidak lihat ada halangan untuk kita perluaskan penggunaan NADI bagi tujuan BDR,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Pengerusi Panel Penasihat NADI bagi Negeri Johor di Johor Bharu hari ini.
Setakat hari ini, terdapat 1,098 NADI di seluruh negara dengan 101 NADI di Johor dan terdapat sebuah NADI baharu yang sedang dibina di Parlimen Sepanggar, Sabah dijangka siap dalam dua hingga tiga bulan lagi.
Mengenai pelantikan 26 Pengerusi Panel Penasihat NADI di Johor, Fahmi berkata, mereka akan bekerjasama dengan pengurus dan penolong pengurus NADI untuk melaksanakan program bukan hanya di premis NADI, tetapi juga di kawasan luar seperti sekolah atau kawasan kejiranan.
Katanya, ia bertujuan memanfaatkan program yang ada di NADI termasuk program keusahawanan, celik digital, program yang membabitkan kecerdasan buatan (AI) dan lain-lain supaya manfaat NADI dapat dirasai luar daripada lingkungan dua hingga tiga kilometer dari premis NADI itu sendiri.


