POLIS Melaka menahan 16 penunggang motosikal termasuk seorang pelajar tingkatan empat di Jalan Paya Luboh, Tangga kerana melakukan aksi berbahaya seperti memecut, zig-zag serta mencelah kenderaan lain di atas jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Khas Bersepadu Motosikal bermula jam 2 pagi hingga 5 pagi.
‘’Tindakan penunggang motosikal berkenaan yang beraksi secara berkumpulan itu, boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi berkenaan disertai tujuh pegawai dan 43 anggota JSPT Melaka dan pasukan Risikan/ Operasi JSPT Bukit Aman serta sembilan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam usaha membanteras kegiatan samseng jalanan.
“Kesemua 16 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 30 tahun yang ditahan itu, disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya,” katanya.

Muhammad Zaki berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak 178 buah kenderaan diperiksa manakala 87 buah motosikal disita bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
‘’Sebanyak 237 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dengan kesalahan yang paling banyak dikesan melibatkan nombor pendaftaran membabitkan 53 saman, selain kesalahan melibatkan cermin sisi (31 saman), ekzos (25 saman), aksesori (22 saman) dan tiada lesen memandu (20 saman),’’ katanya.

Beliau berkata operasi berkenaan membuktikan komitmen berterusan polis Melaka dalam membanteras kegiatan samseng jalanan serta mana-mana bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Polis menasihatkan golongan remaja agar tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan atau menunggang secara melulu dan berbahaya dan ibu bapa juga dinasihatkan sentiasa memantau anak masing-masing bagi mengelakkan terlibat dengan aktiviti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, JPJ Melaka turut mengeluarkan sebanyak 274 notis P22, selain 21 tindakan di bawah Seksyen 59(2) dan 21 arahan pemeriksaan di bawah Seksyen 61 di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).
–


