WANG negara berjumlah RM15.5 bilion yang tiris berjaya dikutip semula dan sedikit sebanyak membantu kerajaan bertahan dalam menampung subsidi untuk rakyat ketika seluruh dunia berdepan krisis tenaga global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penguatkuasaan tegas oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membolehkan kerajaan menyelamatkan wang berkenaan untuk disalurkan semula kepada rakyat yang memerlukan.
‘’Dalam dua tahun yang lalu, kita kumpul semula RM15.5 bilion yang hilang. Kita perlu tahu bagaimana wang itu boleh selamat dan di mana kebocoran berlaku, di tangan orang-orang tertentu. Ini kita kena hentikan.
“Maknanya kalau kita nak jaga negara ini, jangan curi wang orang, curi tanah orang, bolot kekayaan peribadi dan keluarga, miskin dan batin yang dikatakan itu. Kita cuba sedaya upaya menjaga negara,” katanya pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu Kota Tinggi, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kini menanggung subsidi yang sangat besar mencecah RM6 bilion sebulan bagi menjayakan program subsidi BUDI95 serta pemberian subsidi diesel kepada petani, nelayan dan pengangkutan awam.
Anwar tidak menolak kemungkinan jumlah itu akan terus bertambah sekiranya krisis tenaga global berlarutan.
Mengenai FELDA, Perdana Menteri berkata pengurusan agensi perlu terus diperbaiki bagi memulih dan mengangkat semula martabat agensi berkenaan yang sebelum ini terkait dengan masalah beban hutang lama.
Beliau turut memberi jaminan bahawa agenda pembangunan Felda akan terus diperkasa termasuk aspek pendidikan, kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti peneroka.


