SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Terusan Sungai Dua di Jalan Bertam Perdana 2, Kepala Batas hari ini.
Mayat Muhammad Aryan Hakim Muhammad Jamaluddin ditemukan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.03 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam serta Kepala Batas ke lokasi kejadian.
“Ketika kejadian mangsa dikatakan bermain dengan seorang rakan di gigi air (tepi terusan) sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam terusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
John Sagun berkata, komander operasi membuat penilaian awal seterusnya menjalankan kerja mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian di permukaan air sebelum dimaklumkan orang awam pada jam 5.29 petang mengatakan mangsa telah dijumpai hanyut dan terapung.
Beliau berkata, pasukan operasi kemudian terjun ke dalam terusan itu bagi menyelamatkan mangsa dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk tindakan lanjut.


