SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah haji supaya menumpu kepada ibadah yang wajib dan mengurangkan aktiviti berbelanja ketika berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah, selain menjaga kesihatan diri, jemaah perlu mengawal perbelanjaan dan berjimat cermat terutama ketika situasi ekonomi dunia yang bergolak ketika ini.
“Beta mengingatkan jemaah haji perlu menjaga kesihatan diri, tidak membazir dan mengawal perbelanjaan serta berjimat cermat terutama dalam situasi ekonomi dunia bergolak ketika ini.
“Tumpukan kepada ibadah yang wajib dilakukan dan kurangkan aktiviti membeli-belah serta berbelanja ketika berada di Tanah Suci,” titah baginda pada Majlis Penutupan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor Musim Haji 1447 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.
Ketibaan baginda disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan lebih 5,000 peserta kursus.
Lebih 8,000 jemaah dari Selangor terpilih menunaikan Rukun Islam kelima dengan penerbangan pertama pada 18 April ini.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah, jemaah yang berpeluang menunaikan haji pada tahun ini perlu memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk mendapatkan haji mabrur susulan kuota mengerjakan haji bagi rakyat Malaysia sangat terhad.
Titah baginda, jemaah juga harus bersyukur dengan adanya Lembaga Tabung Haji (TH) yang menjaga dan menguruskan kebajikan mereka.
“Jadi, gunakan kemudahan disediakan TH bagi mengelak jemaah haji tertipu dengan agensi lain yang tidak diketahui latar belakangnya hingga terpedaya dan hasrat menunaikan haji tergendala.
“Beta berharap semua jemaah juga mengekalkan disiplin diri ketika berada di Tanah Suci nanti dan menjaga nama baik Selangor serta Malaysia.
“Patuhi peraturan ditentukan Kerajaan Arab Saudi dan hindari diri daripada terbabit dalam sebarang bantahan atau demonstrasi,” titah baginda.


