KERAJAAN Persekutuan terus mengangkat martabat institusi pondok dan tahfiz sebagai teras pembinaan insan berakhlak dan berintegriti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui Belanjawan 2026, peruntukan disalurkan bagi memperkasa prasarana Sekolah Agama Rakyat dan sekolah tahfiz, termasuk RM1.8 juta untuk 18 institusi di Terengganu, demi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan bermaruah.
‘’Insya-Allah, Kerajaan I akan terus memperkukuh dan memartabatkan institusi pendidikan agama sebagai wahana melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya tahan, demi masa depan negara yang lebih sejahtera,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra MADANI Pelajar Tahfiz Terengganu di Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri mahu sekolah tahfiz dan pondok di seluruh negara untuk menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata ini penting bagi memastikan institusi pendidikan berkenaan tidak ketinggalan dalam arus perkembangan semasa.
Anwar juga menekankan kepentingan penguasaan bahasa lain selain Bahasa Arab dan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah pondok dan tahfiz.
Dalam ucapan tersebut Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM60 juta khusus bagi program pembasmian kemiskinan di Terengganu pada tahun ini.
Beliau berkata program itu meliputi usaha peningkatan pendapatan rakyat dan pembaikan perumahan di negeri berkenaan.
“Pelaksanaan program ini akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya.
Sebanyak 1,500 pelajar, guru dan penggiat sekolah pondok dan tahfiz di Terengganu hadir pada majlis itu. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.


