DATUK Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) serta agensi berkaitan untuk menyegerakan bantuan susulan kebakaran Sekolah Menengah Ugama SMU (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Bachok, Kelantan pada Ahad lalu.
Menerusi hantaran dalam laman Facebook, Anwar berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan pelajar dan kelancaran pembelajaran yang terjejas.

“Kerajaan MADANI akan menyegerakan bantuan yang diperlukan serta bekerjasama dengan semua pihak bagi mempercepatkan kerja pemulihan dan memastikan sekolah ini kembali berfungsi seperti sediakala.
“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini yakni soal keselamatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lalu, tiga blok bangunan membabitkan blok akademik, bilik penyelia dan asrama pelajar lelaki di sekolah itu musnah dalam kebakaran di Kampung Kolam, Pak Badol di Bachok, Kelantan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.


