ISWAMI gesa Kerajaan Malaysia,Indonesia beri taklimat media, elak spekulasi isu sempadan

IKATAN  Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI) menggesa semua organisasi media di kedua-dua negara agar memperkukuh naratif harmoni dalam pelaporan isu penyelesaian sempadan darat sektor Sabah–Kalimantan Utara (KALTARA), serta mengelakkan kandungan yang boleh mencetuskan salah faham.

Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, dan Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, menegaskan bahawa pelaporan media perlu mengutamakan sumber rasmi kedua-dua negara, di samping mengamalkan pendekatan yang berimbang, berhemah dan berteraskan konteks dalam setiap liputan.

Mereka turut menjelaskan bahawa rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan “Outstanding Boundary Problem (OBP)” tidak berasaskan prinsip timbal balik, pampasan atau pertimbangan untung rugi.

“Media perlu berperanan sebagai jambatan persefahaman yang mengukuhkan hubungan dua hala, bukan menjadi pencetus salah faham. Laporan yang tidak tepat, tidak seimbang atau bersifat spekulatif hanya akan menjejaskan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia,” menurut Zaini dan Asro.

ISWAMI menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan kedua-dua negara terus mengutamakan pendekatan diplomasi berteraskan semangat muhibah, hormat dan setiakawan dalam menangani isu berkenaan.

Sehubungan itu, ISWAMI turut menggesa kerajaan Malaysia dan Indonesia menyediakan taklimat khas kepada pengamal media bagi memastikan fakta yang jelas, tepat dan selaras dapat disampaikan kepada rakyat, sekali gus mengelakkan kekeliruan serta spekulasi tidak berasas.

ISWAMI menegaskan bahawa peranan media amat penting dalam memastikan isu sensitif seperti sempadan negara dilaporkan secara bertanggungjawab, dengan mengutamakan sumber sahih serta pelaporan yang berimbang, demi kepentingan bersama dan kestabilan serantau.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img