Enam cedera, motosikal berlanggar sesama sendiri elak operasi polis di Kuala Terengganu

ENAM  motosikal berlanggar sesama sendiri hingga menyebabkan sebuah daripadanya terbakar ketika cuba meloloskan diri dari operasi samseng jalanan awal pagi, hari ini di Kuala Terengganu.

Akibat kejadian di Jalan Tengku Mizan itu, enam penunggang berusia antara 16 hingga 21 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika operasi bersepadu polis bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 10 jam bermula 10 malam semalam hingga 8 pagi hari ini.

“Sepanjang operasi, sebanyak 46 motosikal ditahan untuk pemeriksaan dan 228 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Ketika operasi dijalankan, berlaku beberapa kemalangan meibatkan enam motosikal dipercayai akibat tindakan penunggang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan,” katanya lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, salah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai cuba merempuh anggota bertugas sebelum hilang kawalan dan terbabas.

“Dalam masa sama, sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 yang terbabit dalam kemalangan turut terbakar sejurus kejadian,” katanya.

Menurut  Azli enam penunggang yang cedera terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, buruh dan pekerja kedai makan.

“Empat daripada mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk gagal berhenti pemeriksaan, ubah suai struktur dan ekzos, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan serta tidak memakai topi keledar.

‘’Semua motosikal terbabit dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dalam operasi sama, JPJ turut mengeluarkan 280 notis kesalahan dan menyita 102 motosikal.

“Kami menasihatkan orang ramai khususnya remaja agar tidak menjadikan jalan raya sebagai lokasi perlumbaan haram atau melakukan aksi berbahaya yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img