TIDAK sampai lapan bulan lagi, mandat pemerintahan Kerajaan Negeri Melaka di bawah Barisan Nasional (BN) akan berakhir dan seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Hari ini kehangatan PRN Melaka bagaikan sudah terasa apabila Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN ketika merasmikan serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO seluruh Negeri Melaka 2026, di Ayer Keroh meminta jentera parti bersiap sedia.
Bercakap kepada media, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa kesiapsiagaan seluruh jentera parti di semua peringkat perlu diperkukuhkan sebagai persiapan menghadapi PRN negeri itu.
Katanya, kekuatan di peringkat cawangan, lokaliti dan bahagian menjadi tunjang utama dalam memastikan kejayaan yang telah dikecapi sebelum ini dapat dipertahankan.
“Kesiapsiagaan seluruh jentera di peringkat cawangan dan lokaliti serta bahagian dalam menghadapi pilihan raya umum dan juga PRN Melaka amat penting. Kejayaan pilihan raya yang lalu harus dipertahankan dan kita berkeyakinan prestasi yang diperlihatkan oleh kerajaan negeri setakat ini cukup baik.
“Ia mesti dijadikan sebagai ‘feel good factor’ bagi terus menggamit dukungan kepada calon-calon yang akan kita kedepankan. Kita tahu bahawa hanya 17 peratus pengundi di negeri Melaka ini terdiri daripada ahli parti, manakala selebihnya mereka yang bukan ahli UMNO atau ahli-ahli parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).
“… dan kita mesti berusaha dengan keras bagi menggamit dan menyantuni semua pihak. Dari segi jumlah pengundi Melayu, terdapat 63 peratus di negeri Melaka, manakala selebihnya adalah orang atau pengundi bukan Melayu. Ini juga harus disantuni dan wajib dilakukan bagi menyelaraskan prestasi yang telah diperlihatkan oleh kerajaan negeri,” katanya di Melaka International Trade Centre (MITC), lapor UMNO online.

Mengulas lanjut kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, sepanjang tiga tahun kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pelbagai perubahan positif telah berjaya dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.
“Selama tiga tahun Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memimpin negeri Melaka, banyak perubahan yang telah dilakukan dan perubahan serta kejayaan ini harus dipertahankan,” katanya lagi.
Beliau berkata, UMNO perlu tampil sebagai sebuah parti yang diyakini rakyat dengan membuktikan keupayaan mentadbir serta menyelesaikan isu rakyat secara berkesan.
“Kita mesti memperlihatkan prestasi dari segi parti politik untuk menggamit dukungan daripada pengundi-pengundi dari pelbagai kaum di negeri Melaka,” kata beliau.
Dalam masa yang sama Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa parti itu sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk bergerak secara solo dalam PRN Melaka akan datang.
“Kita ke arah itu tetapi tidak akan mengetepikan supaya tidak ada pertindihan kerusi berlaku,” tegasnya.


