SEORANG lelaki ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di Bandar Sungai Long, Kajang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 kira-kira jam 9.44 malam berhubung kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa, lelaki tanpa identiti berusia lingkungan 40-an, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.
Beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil ke IPD Kajang atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Zharif Ab Rasid di talian 012-592 5390 bagi membantu siasatan,” katanya.


