SEORANG pemandu bas ekspres yang tular memandu dalam keadaan berbahaya serta menggunakan sebelah tangan ketika membawa penumpang ditahan polis di Alor Gajah hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah kira-kira jam 12 tengah hari.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke lokap IPD Alor Gajah bagi proses lanjut sebelum permohonan reman dibuat di mahkamah esok.
“Permohonan reman akan dijalankan di Mahkamah Majistret Alor Gajah bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Sebelum ini, polis mengesan suspek selepas satu video berdurasi satu minit 20 saat tular di media sosial yang memaparkan pemandu berkenaan memandu dalam keadaan menyandar ke belakang serta hanya menggunakan sebelah tangan untuk mengawal stereng ketika kenderaan bergerak pada waktu malam.


