PADA 18 Apri lalu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan,penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi akaun media sosial bukan untuk menyekat kebebasan bersuara terutamanya dalam kalangan kanak-kanak tetapi untuk menjamin keselamatan mereka dan keluarga di Internet.
Malah juga menegaskan, kanak-kanak masih boleh mengakses Internet atau platform media sosial, namun perlu di bawah pemantauan penjaga.
“Kita mahu sekat kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada membuka akaun sendiri, namun sekiranya ibu bapa yang membuka akaun tersebut dan memantau penggunaannya, perkara itu tidak menjadi masalah.
“Contohnya, aplikasi YouTube, mereka masih boleh menonton kandungan di sana. Kita cuma tidak mahu mereka mempunyai akaun peribadi yang membolehkan pemangsa seksual atau pedofilia menghubungi mereka secara terus,” katanya.
Ternyata niat kerajaan melalui Kementerian Komunikasi difahami oleh majoriti ibu bapa di negara ini apabila Malaysia muncul sebagai negara dengan kadar sokongan tertinggi di dunia terhadap cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu bawah umur 16 tahun.
Sokogan itu diterjemahkan melalui satu kajian global oleh inisiatif Family First di bawah Varkey Foundation.
Kajian berkenaan yang dijalankan antara Januari hingga Februari 2026 melibatkan 6,002 ibu bapa, 6,011 kanak-kanak berusia 9 hingga 18 tahun, 3,000 datuk dan nenek, serta 3,000 responden Gen Z dari 15 negara termasuk Malaysia, India, Perancis, Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
Hasil kajian menunjukkan 77% ibu bapa di Malaysia menyokong had umur bawah 16 tahun untuk penggunaan media sosial, menjadikan Malaysia berada di kedudukan pertama dalam kalangan negara yang dikaji.
Apa yang menarik, sokongan juga datang daripada golongan muda iaitu 62% kanak-kanak dan remaja Malaysia menyokong cadangan tersebut berbanding peringkat global: 37% , manakala 65% Gen Z Malaysia turut menyokong berbanding peringkat global 51%.
Berikutan pencapaian itu berdasarkan perbandingan antara negara, Malaysia mendahului dengan 77%, diikuti India (75%) dan Perancis (74%). Jepun mencatatkan kadar sokongan paling rendah iaitu 38%.
Kajian ini turut mencerminkan sokongan terhadap pendekatan “delay, not ban”, iaitu menangguhkan akses media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun, bukannya pengharaman sepenuhnya.
Ia juga menekankan keperluan “safety by design” iaitu tanggungjawab platform digital untuk membina sistem yang lebih selamat bagi pengguna muda.
Antara faktor utama sokongan terhadap cadangan ini termasuk kebimbangan terhadap keselamatan dan risiko dalam talian, kesan terhadap kesihatan emosi kanak-kanak, perkembangan sosial yang sihat dan peranan gajet sebagai pengganti pengawasan ibu bapa.
Dapatan itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa majoriti masyarakat, khususnya di Malaysia, mahukan kawalan lebih ketat terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak demi keselamatan dan kesejahteraan generasi muda.
Kajian tersebut turut menyimpulkan bahawa trend global kini semakin cenderung kepada usaha menjadikan ruang digital lebih selamat dan bertanggungjawab untuk kanak-kanak dan keluarga.
Sudah pastilah ia selari dengan usaha dan langkah kerajaan negara ini melalui kempen Internet Selamat.
Dapatan kajian berkenaan sekaligus membuktikan apa yang dilakukan oleh kerajaan bukanlah bertujuan menyekat kebebasan mana-mana golongan tetapi mahu memastikan mereka di bawah 16 tahun dilindungi daripada sebarang ancaman tersembunyi di sebalik perkembangan teknologi bernama internet….ternyata ibu bapa memahami dan menyokongnya.


