SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu di platform TikTok terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Azam Baki.
MCMC dalam kenyataan berkata, individu berkenaan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
‘’Satu unit peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,’’ kata kenyataan itu.
MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
Tegas MCMC, tindakan penguatkuasaan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
‘’Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,’’ kata MCMC.


