PERIKATAN Nasional menegaskan hubungan antara Pas dan Bersatu dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis adalah akrab sekaligus menafikan sebarang usaha untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Abu Bakar Hamzah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketika menegaskan perkara itu, Pengerusi PN Perlis, Datuk Ser Shahidan Kassim berkata, Pas Pusat sudah menyuarakan pendirian untuk menyokong pentadbiran sedia ada sehingga PRU16.
Sehubungan itu kata beliau, Pas tidak perlu menggunakan usul undi tidak percaya untuk menukar pentadbiran semasa kerana mereka menguasai majoriti kerusi DUN.
“Semua ini adalah tahyul yang dicatatkan (dijaja) pelbagai pihak. Buktikan pada saya, memang tidak ada pakatan undi tidak percaya. Pas Pusat sudah buat keputusan untuk menyokong kerajaan ini sehingga pilihan raya.
“Tidak perlu undi tidak percaya. Pas yang majoriti, Pas boleh pergi beritahu (jika mahu ambil alih). Tetapi itu bukan cara Pas. Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpesan kepada saya supaya wujudkan hubungan yang baik dan kita berpegang kepada ketetapan Pas Pusat,” katanya lapor Berita Harian.

Sebelum ini, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah menafikan sidang DUN Perlis yang sepatutnya bermula hari ini hingga 23 April ditangguhkan kerana beliau takut digulingkan.
Katanya, keputusan itu bukan di bawah kuasa mutlak menteri besar, sebaliknya ia dibuat berdasarkan nasihat tertentu demi kepentingan pentadbiran negeri.
Berikutan enam wakil rakyat PAS yang diketuai ADUN Sanglang Shukri Ramli bersama Muhammad Azmir Azizan (Santan), Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang), Razali Saad (Simpang Empat), Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf (Beseri) meminta penjelasan berhubung penangguhan itu.
Mengulas lanjutan Shahidan berkata, peluan percaya penangguhan sidang DUN itu dibuat mengikut lunas undang-undang dan peraturan, bukannya kerana Abu Bakar takut dijatuhkan melalui undi tidak percaya.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis itu berkata, tindakan enam ADUN Pas menuntut penjelasan berhubung penangguhan DUN dibuat atas kapasiti peribadi sebagai wakil rakyat, bukannya pendirian rasmi parti.
“Kita menerima tindakan mereka sekadar ingin mendapatkan penjelasan atas kapasiti itu dan ia sama sekali bukan bertujuan menimbulkan ketidakharmonian dalam kerajaan PN,’’ katanya.


