POLIS mempergiat pemantauan di sembilan stesen minyak yang masih beroperasi di daerah ini menerusi Op Tiris 4.0 bagi mengekang aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, daripada keseluruhan 11 stesen minyak di kawasan itu, hanya sembilan berada dalam pemantauan aktif.
“Dua stesen merupakan stesen komersial tanpa subsidi, manakala sebuah lagi di Wang Kelian telah ditutup,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurutnya, operasi dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV), trafik serta pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi memantau aktiviti penyelewengan bahan api.
“Rondaan tidak tertumpu kepada satu lokasi sahaja, sebaliknya meliputi semua stesen minyak yang masih beroperasi termasuk penugasan statik di kawasan ‘hotspot’,” katanya.
Beliau berkata, pasukan khas turut memberi tumpuan kepada kenderaan mencurigakan termasuk yang diubah suai dengan tangki tambahan, selain mengumpul risikan berkaitan aktiviti penjualan bahan api secara haram.
Tambahnya, kekuatan anggota ketika ini adalah mencukupi dan operasi dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Bukit Aman.


