MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu mengarahkan kerajaan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membayar lebih RM750,000 kepada seorang ibu dan anak perempuannya selepas mendapati cuai menyelenggara pokok di sepanjang jalan persekutuan.
Hakim Yusrin Faidz Yusoff, yang membenarkan rayuan Nur Zafirah Bazaredi, 32, dan ibunya Norliza Mat Hassan, 58, berkata Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila menolak saman mereka terhadap kerajaan dan JKR tahun lalu.
Mahkamah menganugerahkan RM354,120 sebagai ganti rugi khas dan am kepada Zafirah, manakala Norliza menerima RM397,650.
Berdasarkan fakta kes, dahan pokok besar tumbang ke atas jalan lalu menghempap dua kenderaan pada 7 Okt 2017. Zafirah memandu salah sebuah kenderaan itu manakala ibunya duduk di sebelah, lapor FMT.
Kedua-duanya kemudian memfailkan saman kecuaian terhadap kerajaan, JKR, syarikat konsesi penyelenggaraan jalan Roadcare (M) Sdn Bhd, dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Dalam penghakimannya, Yusrin berkata mahkamah rendah tersilap apabila melepaskan kerajaan dan JKR daripada liabiliti walaupun kedua-duanya memiliki dan mengurus jalan persekutuan.
Katanya, kerajaan dan JKR sebagai pemilik serta pentadbir jalan itu mempunyai kewajipan memastikan ia selamat digunakan orang ramai.
“Adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberikan penjelasan munasabah tanpa unsur kecuaian mengenai punca pokok itu tumbang.
“Tiada bukti dikemukakan di mahkamah bahawa pemeriksaan berkala terhadap pokok-pokok itu dijalankan, dan dalam pembelaan mereka, kerajaan hanya menuding kepada pihak majlis bandaraya sebagai pihak yang bertanggungjawab.
“Pokok itu tumbang kerana kerajaan gagal melaksanakan penyelenggaraan sewajarnya,” katanya.
Mengenai tuntutan terhadap Roadcare, Yusrin berkata penyelenggaraan pokok tidak termasuk dalam skop kerja syarikat konsesi itu, yang hanya bertanggungjawab membersihkan halangan seperti pokok tumbang bagi memulihkan aliran trafik.


