POLIS menahan seorang wanita warga asing bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki di sebuah kediaman di Pelangi Promenade, Klang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 3.15 petang.
“Susulan itu, seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.


