SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bekerjasama dengan pihak perbankan bagi mendapatkan transaksi melibatkan dua individu termasuk timbalan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kini direman berkait kes penyelewengan dana RM230 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada siasatan yang dijalankan pihaknya berhubung kes itu.
Menurutnya, SPRM sedang mendapatkan banyak lagi maklumat dan juga keterangan terutamanya pengesahan daripada pihak bank jumlah wang yang telah dimasukkan dalam akaun peribadi mana-mana pihak.
“(Urusan) bank ini secepat mungkin kita hendak (selesaikan). Biasanya ambil masa paling cepat dalam tempoh seminggu, bank akan akan memberi dokumen mereka.
“Kes ini bukan setakat 2025 sahaja ataupun 2026, itu mungkin cepat tapi kita hendak yang sebelum itu iaitu pada tahun 2024 ke bawah dan sehingga setakat laporan semalam kami mohon bank dokumen sejak 2018 hingga ke sekarang,” katanya.
Azam berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara SPRM dan Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) di Nilai, hari ini.
SPRM sebelum ini mengesahkan siasatan kes penyelewengan RM230 juta yang dikaitkan dengan sebuah NGO setakat ini tidak membabitkan sumber dana daripada institusi zakat dalam negara.
Azam sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan pihaknya mendapati, penyelewengan dikesan berlaku dalam NGO itu di mana NGO terbabit menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuk komisen yang diperoleh daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Dua lelaki berusia 57 dan 61 tahun termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, direman empat hari hingga Sabtu ini, selepas ditahan pada Selasa lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sementara itu, Azam pada masa yang sama berkata, lebih ramai individu termasuk ahli keluarga dan pihak NGO berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mana-mana pihak yang terlibat menerima wang berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Jadi, saya jangka bila mendapat akaun bank akan menunjukkan banyak lagi pihak-pihak yang menerima itu, kita akan panggil untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka,” jelasnya.
Tambah Azam, siasatan sehingga kini menemukan beberapa kesalahan penyelewengan dana oleh suspek bagi tujuan peribadi.
“Selepas (wang) masuk dalam akaun NGO berkenaan mereka mesti menguruskan mengikut undang-undang dengan proses yang betul.
“Jadi, tak ada beza pun dengan NGO-NGO lain yang bila wang masuk dalam dana akaun mereka mereka perlu gunakan dengan betul mengikut peraturan undang-undang.
“Ini tidak, setakat siasatan yang kami jalankan setakat semalam memang tanda-tanda besar menunjukkan bahawa wang itu disalahgunakan untuk peribadi membeli aset-aset peribadi dan sebagainya,” jelas beliau.


