JIM kesan taktik terbaharu seludup migran guna transit berlapis

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) membongkar taktik baharu sindiket penyeludupan migran yang menggunakan laluan berlapis melalui kaedah transit, bukan lagi penerbangan terus untuk masuk ke negara ini.

Taktik itu terbongkar hasil operasi khas yang dijalankan Bahagian Pencegahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) ibu pejabat Imigresen Putrajaya di dua lokasi utama iaitu di Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semalam.

ANTARA migran yang diperiksa dalam operasi khas Jabatan Imigresen di dua lokasi utama iaitu Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semalam. GAMBAR: JIM

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket tidak lagi menggunakan laluan laut di perairan Selangor, sebaliknya beralih kepada pendekatan lebih kompleks melalui laluan udara dan darat secara berlapis.

Taktik ini katanya, digunakan kerana kebanyakan migran dipercayai sudah disenarai hitam daripada memasuki negara ini.

ANTARA migran yang ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen di dua lokasi utama iaitu Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semalam. GAMBAR: JIM

“Mereka mengelak penerbangan terus ke Malaysia. Antara laluan dikenal pasti adalah dari Indonesia ke Singapura sebagai negara transit, sebelum diterbangkan ke Hatyai, Thailand. Malah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga digunakan sebagai transit penerbangan sebelum ke Hatyai,” katanya.

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di Hatyai, semua migran akan ditempatkan di sebuah rumah transit atau safe house sebelum kemasukan mereka ke Kelantan diatur melalui laluan haram di sempadan Thailand-Bukit Bunga di Tanah Merah.

“Selepas berjaya bolos ke kawasan Bukit Bunga, migran akan diatur pergerakannya ke ibu negara menggunakan perkhidmatan bas ekspres berbeza pada hari sama, dan mereka hanya bergerak pada waktu malam,” katanya.

Difahamkan, rangkaian sindiket itu beroperasi secara berlapis dengan pembahagian tugas khusus bagi memutuskan rantaian maklumat antara migran dan ahli sindiket, lantas menyukarkan pengesanan.

Ia didalangi seorang ‘dalang utama’ di Indonesia serta mempunyai ejen perantara di Hatyai yang bertanggungjawab memalsukan cap kemasukan dalam pasport.

Mengulas mengenai serbuan semalam, Zakaria berkata, risikan terperinci mengesan ketibaan sekumpulan warga Indonesia ke Lembah Klang dari Kelantan dengan menaiki bas ekspres.

“Dalam operasi di lokasi pertama di TBG, masing-masing dua lelaki dan wanita warga Indonesia ditahan. Turut ditahan seorang lelaki warganegara sama dipercayai bertindak sebagai transporter bagi menguruskan logistik dan pergerakan migran terbabit di sekitar Kuala Lumpur.

“Bagi operasi di lokasi kedua iaitu TBS, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia yang mempunyai kaitan dengan sindiket sama ditahan, selain kita turut menyita sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 milik transporter berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata, semua migran ditahan berusia lingkungan 27 hingga 60 tahun dipercayai membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada sindiket.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut di mengikut ATIPSOM 2007 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img