JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan warga asing yang mengakibatkan ketirisan hasil negara RM4.1 juta, menerusi penahanan 10 individu termasuk seorang pegawai kanannya dalam ‘Ops Toyu’ semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam itu berjaya memberkas suspek yang bertindak sebagai ejen, transporter dan pemudah cara.
Menurutnya, turut ditahan adalah lima warga India dan seorang warga Pakistan yang dikesan sebagai imigran larangan.
“Sindiket ini menyeludup masuk warga asing dari Thailand menggunakan transporter yang menyamar sebagai pemandu teksi bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Pegawai kanan Imigresen yang ditahan pula bertindak sebagai pemudah cara dengan menurunkan endorsement pasport walaupun warga asing terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun itu mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap warga asing. Daripada jumlah itu, RM400 disogok kepada pegawai terbabit bagi setiap pasport yang dicop.
“Pasukan operasi turut menyita pelbagai barang kes, termasuk lima naskhah pasport India, satu pasport Pakistan, pelbagai Pas Sempadan dan Cap Keselamatan Imigresen.
“Selain itu turut dirampas 12 unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah 30,000 Rupee India (INR) serta sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan dua motosikal,” katanya.
Katanya, semua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen negeri Kedah dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Pihak imigresen turut mengeluarkan notis kepada empat individu warga tempatan bagi membantu siasatan, tambah beliau.


