Dana zakat Perlis : Pas desak siasatan menyeluruh, audit forensik

PAS mendesak agar satu siasatan menyeluruh dan audit forensik dilaksanakan segera bagi menangani kontroversi pengurusan dana zakat di Perlis yang kini mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang dakwaan penyelewengan atau salah urus dana yang melibatkan agensi rasmi mahupun individu pihak ketiga tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan amanah suci umat Islam.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Pas memandang serius kontroversi berhubung pengurusan dana zakat di negeri Perlis yang kini menimbulkan kebimbangan meluas masyarakat, selain mendapat perhatian nasional.

Zakat adalah amanah suci yang merupakan tanggungjawab pembayar yang diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk diurus dengan penuh integriti, ketelusan dan keadilan demi manfaat golongan asnaf serta mereka yang benar-benar memerlukan.

Sebarang dakwaan penyelewengan, salah urus atau kelemahan tadbir urus, sama ada melibatkan agensi rasmi negeri atau individu dan pihak ketiga, mestilah ditangani dengan penuh kesegeraan, kejujuran dan kesungguhan tanpa pilih kasih atau rasa takut.

Kontroversi ini pada asasnya adalah isu tadbir urus dan integriti. Persoalan berhubung pengurusan dana zakat menuntut penjelasan yang meyakinkan serta akauntabiliti yang sewajarnya, termasuk di pihak kerajaan negeri.

Kedua, ia juga menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan struktur dan sistem yang berkait rapat dengan isu-isu tafsiran, kelulusan, pemantauan dan pengagihan dana zakat.

Oleh sebab ia melibatkan dana awam, lebih-lebih lagi dana keagamaan yang besar jumlahnya, maka kawalan dalaman mestilah sentiasa kukuh dan tidak boleh dipertikai sama sekali.

Berdasarkan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh banyak pihak, termasuk Pejabat Mufti Negeri, MAIPS dan JAKIM, wujud percanggahan dan kekeliruan dari sudut bidang kuasa dan kuat kuasa undang-undang serta akauntabiliti institusi.

Rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai peranan, bidang kuasa dan tanggungjawab setiap agensi atau pihak berkuasa yang terlibat dalam pentadbiran zakat.

Kepercayaan adalah asas kepada sistem zakat. Jika keyakinan merosot atau runtuh, maka mangsa akhirnya ialah golongan miskin dan memerlukan yang bergantung pada bantuan yang cepat dan berkesan.

Isu ini juga membawa implikasi lebih besar terhadap kredibiliti kepimpinan, proses dan tanggungjawab institusi yang mesti ditangani secara tegas dan profesional.

Sehubungan itu, Pas mendesak beberapa langkah ke hadapan diambil, termasuk siasatan menyeluruh dan bebas dijalankan segera dan semua pihak terbabit hendaklah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

Kedua, proses tadbir urus, kelulusan serta aliran dana hendaklah diperincikan secara telus dalam batas proses perundangan sah yang sedang berjalan. Satu audit forensik juga perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan, menentukan tanggungjawab serta mengesyorkan langkah pembetulan yang tepat dan berkesan.

Reformasi institusi lebih luas mesti dijalankan bagi memperkukuh pengurusan dana zakat, termasuk sistem pematuhan lebih ketat, struktur tadbir urus lebih jelas serta pemantauan berkala yang tegas dan teliti.

Laporan tahunan serta pendedahan prestasi terbuka hendaklah dijadikan amalan standard supaya pembayar zakat dan masyarakat luas mengetahui secara pasti bagaimana dana zakat diurus dan diagihkan.

Pas percaya isu ini tidak wajar dipolitikkan, namun ia juga tidak boleh “disapu ke bawah karpet”. Masyarakat awam berkehendakkan akauntabiliti, sementara Islam pula menuntut tahap amanah yang lebih tinggi.

Kontroversi ini seharusnya menjadi titik perubahan untuk memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan institusi zakat di Malaysia diurus mengikut piawaian tertinggi dari segi integriti, profesionalisme dan ihsan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img