POLIS menahan dua penunggang lelaki yang melakukan aksi ‘superman’ dalam operasi samseng jalanan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Seremban awal pagi tadi.
Dalam operasi di LEKAS dan Jalan Rasah itu, sebanyak 50 saman dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 4.30 pagi.
“Polis mengeluarkan 50 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran dan ubah suai ekzos.
“Sebanyak 23 motosikal diperiksa manakala lima motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun itu ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya.
Katanya, kedua-dua pemuda ini melakukan aksi meniarap di atas motosikal dengan kepala rapat ke hendal dan kaki diluruskan ke belakang.
“Aksi ini dikesan pada jam 1.25 pagi di LEKAS dan boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang serta pengguna jalan raya lain.
“Kedua-dua suspek bersama motosikal Yamaha 135LC dan Yamaha Y15ZR kini ditahan di Lokap Balai Polis Seremban 2 untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil memberitahu kedua-dua mereka kini direman selama dua hari bermula hari ini.


