Lelaki tempatan disekat ke luar negara susulan siasatan isu azan

SEORANG lelaki tempatan dimasukkan dalam Senarai Pekeliling Khas, bagi menghalangnya daripada ke luar negara, susulan siasatan berhubung isu azan di Ampang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tindakan itu diambil selepas beberapa laporan diterima daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau berkenaan, berhubung satu petisyen yang berlegar di kawasan perumahan berkenaan.

“Setakat ini, suspek masih belum ditangkap tetapi telah dibuat senarai pekeliling khas untuk memastikan tidak terlepas keluar Malaysia.

“Nama suspek didaftarkan di lapangan terbang. Sekiranya ada, tangkapan akan dibuat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Larian Diraja Selangor Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Elmina Lake Side Mall di Shah Alam hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, AJK Surau Taman Seraya telah membuat 10 laporan polis, berhubung dakwaan gangguan oleh seorang penduduk berkaitan tuduhan berbaur fitnah dan ancaman serta ugutan kepada pengerusi surau.

Shazeli dalam pada itu berkata, usaha telah dijalankan untuk mengesan dan membuat tangkapan terhadap suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek adalah penduduk di kawasan taman berkenaan, namun motif sebenar tindakannya masih dalam penelitian.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan.

Shazeli turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dan melanggar undang-undang, khususnya di bawah Akta Hasutan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img