Kereta bertembung lori, tiga lelaki maut

TIGA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori yang bertembung di Jalan Felda Hutan Percha, Alor Gajah petang semalam.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 3.40 petang melibatkan sebuah kereta jenis Honda dinaiki empat individu bertembung dengan sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kereta Honda itu  dari arah Melaka menghala ke Segamat, Johor dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang datang dari arah Tebong menghala ke Cheng.

“Seorang penumpang di tempat duduk belakang sebelah kanan kereta berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua lagi mangsa yang menaiki kereta sama, iaitu pemandu berusia 23 tahun dan seorang penumpang berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka hari ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Ahmad, seorang lagi penumpang wanita berusia 23 tahun masih dirawat di Hospital Melaka.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 59 tahun dan kelindannya berusia 28 tahun turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Tampin.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img