JKDM Negeri Sembilan rampas rokok, minuman keras RM2.1 juta sejak Januari

BAHAGIAN Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penjualan rokok dan minuman keras tidak sah sejak Januari hingga Mac lalu termasuk cukai berjumlah kira-kira RM2.1 juta.

Pengarahnya, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, kejayaan itu hasil serbuan dan pemeriksaan di 38 premis sepanjang tempoh berkenaan.

“Sepanjang Januari hingga Mac, Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan ke atas 38 outlet di sekitar kawasan Negeri Sembilan.

“Hasil daripada pemeriksaan di semua outlet berkenaan, 28 outlet didapati menjual rokok dan minuman keras yang disyaki sebagai barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, rampasan membabitkan 96,879 peket atau 1,752,353 batang rokok pelbagai jenama dan saiz, serta 26,375 tin/botol bersamaan 12,331.34 liter minuman keras pelbagai jenama dan saiz.

“Rokok adalah barang larangan import yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import di bawah Butiran I, Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Pengimportan minuman keras juga tertakluk kepada permit import di bawah Butiran III, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah, Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Beliau berkata, kesemua barang kes itu disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk duti/cukai yang direkodkan dianggarkan sebanyak RM2.1 juta.

“Secara keseluruhannya juga, seramai 26 individu warga tempatan sedang disoal siasat bersabit kes-kes ini dan dua warga asing berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.

Mengulas berkenaan modus operandi beliau berkata, rokok dan minuman keras yang tidak sah dijual secara tersembunyi pemilik atau pekerja outlet.

Katanya, ia diedarkan secara senyap-senyap kepada pelanggan tetap dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan harga yang ditetapkan kerajaan Malaysia di pasaran.

“Kesemua kes yang diperolehi sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img