PGA serbu kilang kayu, rampas lebih RM1 juta, tujuh ditahan

KEGIATAN sebuah kilang kayu yang dipercayai menggunakan hasil hutan tidak bercukai terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kayu dan peralatan bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan di Chuchoh Puteri, Kuala Krai, petang semalam.

Serbuan menerusi Op Bersepadu Khazanah kira-kira jam 3 petang itu dijalankan hasil risikan bersama Jabatan Perhutanan, sekali gus membawa kepada penahanan tujuh lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 51 tahun.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan dijalankan, pihaknya mendapati beberapa individu sedang mengendalikan jentera berat serta memotong kayu di premis berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemukan dokumen permit pemindahan kayu yang dikemukakan kerani kilang dalam keadaan meragukan.

“Hasil semakan bersama Jabatan Perhutanan mendapati kayu yang berada di kilang berkenaan dipercayai tidak bercukai.

“Susulan itu, kita merampas jentera berat, 141 batang kayu bulat pelbagai saiz dan spesies, 3,035 batang kayu siap pelbagai saiz serta peralatan lain membabitkan keseluruhan nilai lebih RM1 juta,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan menggaji tujuh pekerja dan mendapatkan bekalan kayu hutan tidak bercukai daripada penduduk setempat pada harga sekitar RM12 sekaki.

Katanya, kayu yang sudah diproses kemudian dijual kepada ejen dengan harga kira-kira RM700 satu tan untuk pasaran di Kuala Lumpur.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img