Sindiket MyKad palsu tumpas, guna kepakaran IT buat pinjaman dalam talian

POLIS menumpaskan satu sindiket pemalsuan kad pengenalan (MyKad) yang turut terbabit dalam aktiviti dadah menerusi serbuan di Kampung Raja, Besut, pada 23 April lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, serbuan kira-kira jam 10.05 malam itu berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 39 tahun.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemui dadah jenis syabu seberat 7.11 gram dianggarkan bernilai RM639.90.

“Polis merampas peralatan dipercayai digunakan untuk memalsukan MyKad termasuk dua komputer riba, dua pencetak, mesin laminator, pendrive, kad kosong serta 12 keping MyKad disyaki palsu.

“Turut dirampas telefon bimbit, kad SIM, peranti WiFi mudah alih, kad bank, kad e-dompet serta wang tunai RM550,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua MyKad yang dirampas menggunakan maklumat individu sebenar, namun gambar telah diubah suai dan tidak sepadan dengan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, individu terlibat turut mengesahkan kad berkenaan bukan milik mereka dan tidak pernah memberi kebenaran penggunaan data peribadi.

“Hasil siasatan mendapati salah seorang suspek merupakan bekas graduan kejuruteraan yang menggunakan kepakaran IT untuk mengeksploitasi sistem permohonan pinjaman dalam talian.

“Modus operandi mereka adalah membuka akaun bank menggunakan MyKad palsu sebelum membuat permohonan pinjaman secara dalam talian,” katanya.

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai dijalankan lebih setahun dengan sekurang-kurangnya 12 pinjaman diluluskan membabitkan kerugian melebihi RM40,000.

Tambahnya, kedua-dua suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Mohd Khairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 serta Seksyen 420 dan 468 Kanun Keseksaan.

“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 24 hingga 30 April dan dijangka dituduh di mahkamah esok,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img