SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Segamat hari ini, atas pertuduhan membunuh rakannya dengan menikam mangsa dalam satu pergaduhan di Chaah, bulan lalu.
Tertuduh, S Kumarasan, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Amalina Johar.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Kumarasan didakwa membunuh Loges Krishnan, 23, di pekarangan sebuah rumah di Taman Resak Sri Chaah kira-kira jam 1.30 tengah hari, 12 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali, jika tidak dihukum gantung, sekiranya sabit kesalahan.
Difahamkan, tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara lima bulan di Penjara Kluang atas kesalahan mencederakan seorang lagi mangsa menggunakan pisau.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, patologi dan klinikal, serta tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.


