‘’Tak munasabah, tak masuk akal!’’ – Amanah tolak cadangan UMNO berunding

PARTI Amanah secara tegas  menolak cadangan UMNO untuk mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menyelesaikan beberapa isu berkaitan prinsip teras berikutan konflik politik di Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung Amanah,  Faiz Fadzil turut menyifatkan apa yang dminta oleh UMNO adalah tidak rasional.

“Adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal untuk mencadangkan rundingan selepas menikam rakan gabungan dari belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun pihaknya menghargai kenyataan UMNO untuk terus menyokong kerajaan perpaduan di negeri itu, perbincangan sepatutnya dilakukan sebelum berlakunya “cubaan pengambilalihan yang khianat” oleh 14 ADUN UMNO.

Beliau turut mengkritik 14 ADUN tersebut kerana menjalin kerjasama dengan lima ADUN Perikatan Nasional dalam usaha membentuk kerajaan negeri baharu, yang menurutnya tidak boleh ditafsirkan selain sebagai satu pengkhianatan berniat jahat.

Faiz mencadangkan supaya14  ADUN UMNO berkenaan menarik balik keputusan mereka untuk tidak lagi menyokong Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, selain dikenakan amaran tegas.

“Hanya selepas tindakan sedemikian diambil, barulah cadangan rundingan boleh dianggap serius dan dipertimbangkan,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menggesa agar satu mesyuarat segera diadakan antara biro politik UMNO dan PH selaras dengan memorandum persefahaman Kerajaan Perpaduan yang memperuntukkan penyelesaian isu dasar dipertikaikan melalui majlis perundingan.

Beliau berkata, UMNO  akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan meskipun berlaku penarikan sokongan terhadap Aminuddin oleh ADUN parti itu.

Hari ini Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ketegasan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasioan (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang tidak bersetuju dengan penubuhan kerajaan ‘tebuk atap’ meredakan konfik tersebut.

Beliau berkata, Ahmad Zahid menyatakan pendiriannya ketika mesyuarat Kabinet semalam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img