Mahkamah hentikan projek Genting Sky City, projek bercanggah garis panduan pembangunan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memihak kepada Genting Malaysia Group dalam saman berhubung cadangan pembangunan Genting Sky City, selepas mendapati projek itu bercanggah dengan garis panduan pembangunan dan Rancangan Fizikal Negara.

Hakim Aliza Sulaiman ketika menyampaikan penghakiman berkata kerja-kerja pengorekan di tapak projek itu menimbulkan ancaman serius terhadap kestabilan cerun.

“Tiada kebenaran merancang yang masih berkuat kuasa, sah dan boleh digunakan bagi projek dicadangkan itu, dalam apa-apa susunan blok sekalipun,” katanya lapor FMT.

Aliza turut memutuskan kerja pengorekan dijalankan tanpa kelulusan kerja tanah yang sah atau pelan bangunan yang diluluskan.

“Projek itu bercanggah dengan garis panduan perancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi serta Rancangan Fizikal Negara,” katanya.

Mahkamah juga mengisytiharkan jalan utama di Genting Highlands sebagai laluan persendirian dan mengeluarkan injunksi bagi menghentikan sebarang kerja pengorekan lanjut.

Saman itu difailkan pada 2020 oleh Genting Highlands Bhd, Genting Malaysia Bhd dan First World Hotels & Resorts Sdn Bhd terhadap pemaju GM Aero Support Sdn Bhd, kontraktor Sycal Bhd, jurutera perunding Lau Yee Sum, firma kejuruteraan struktur Perunding Rekacekap Sdn Bhd, arkitek Lee Yong Chiew dan perancang bandar Zahiruddin Zainal.

Sycal ialah anak syarikat Sycal Ventures Bhd, yang disenaraikan di Pasaran Utama.

Mahkamah turut menolak tuntutan balas difailkan enam defendan itu dan memerintahkan mereka membayar kos RM2 juta selepas perbicaraan selama 76 hari yang bermula pada 2022.

Dalam saman itu, plaintif mendakwa projek berkenaan terletak di cerun bukit yang curam dan boleh menjejaskan kestabilan tanah di kawasan sekitar, sekali gus berisiko merosakkan pembangunan sedia ada berhampiran.

Kumpulan itu berkata projek Genting Skycity melanggar Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi kerana sebahagian besar lokasinya terbabit adalah lereng bukit curam dengan kecerunan antara 25° hingga 35° atau lebih

Ia bermakna kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk pembangunan.

Menurut plaintif, cadangan pembangunan di cerun kelas 3 dan kelas 4 berhampiran Genting First World Hotel meningkatkan risiko tanah runtuh, kerosakan struktur dan kemungkinan bangunan runtuh.

Plaintif juga berkata kerja pengorekan, cerucuk dan pemotongan cerun sudah bermula sekitar November 2019, walaupun tiada kelulusan sah daripada Majlis Perbandaran Bentong di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Peguam Teh Eng Lay, Andy Gan, Lucas Chong dan Bryan Yau mewakili plaintif, manakala defenden diwakili B Thangaraj, Wong Li Wei serta Tan Jia Shen.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img