DUA beranak maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 71 Jalan Johor Bahru-Mersing, di Kota Tinggi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, selain dua mangsa yang maut iaitu ibu dan anak perempuannya, pemandu kereta iaitu suami mangsa turut dilaporkan cedera parah.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 5.15 petang membabitkan Proton Persona dinaiki tiga sekeluarga itu dan sebuah Perodua Bezza.
Katanya, Proton Persona dipandu lelaki berusia 56 tahun, dengan penumpang terdiri daripada isterinya berusia 51 tahun dan anak perempuan mereka berusia 14 tahun, manakala Perodua Bezza dipandu lelaki berumur 27 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Persona dinaiki tiga sekeluarga itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung Perodua Bezza.
“Akibatnya, kedua-dua penumpang Proton Persona parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandunya turut parah serta dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.
“Pemandu Perodua Bezza pula tidak cedera,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Saiful Afiz Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.54 petang, sebelum 11 anggota bergegas ke lokasi.
Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi pasukan keluaran operasi (PKO) didapati kemalangan membabitkan Proton Persona dan Perodua Bezza.
“Terdapat tiga mangsa di dalam Proton Persona, dengan dua daripadanya meninggal dunia manakala lelaki berusia 56 tahun cedera.
“Pemandu Perodua Bezza juga dilaporkan cedera,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, PKO bertindak mengeluarkan semua mangsa dan mangsa cedera diberi rawatan awal oleh petugas kesihatan.
Sementara itu katanya, dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tersebut tamat pada jam 6.25 petang.


