KAEDAH pembelajaran tradisional yang bersifat satu hala dikenal pasti antara faktor utama menyebabkan pelajar sukar memahami sesuatu subjek meskipun menghadiri kelas tuisyen berbayar.
Pengasas platform pendidikan dalam talian, StudyBuddy Online Tuition, Nurul Aini Taib berkata, isu tersebut sering dibangkitkan oleh ibu bapa yang kecewa apabila usaha dan kos yang dilaburkan tidak memberikan hasil setimpal.

“Ramai ibu bapa mengadu anak mereka rajin ulang kaji dan dihantar ke kelas tuisyen, namun masih gagal skor dalam peperiksaan.
“Hakikatnya, pelajar bukan lemah, tetapi pendekatan pembelajaran mungkin tidak selari dengan keperluan generasi masa kini yang lebih cenderung kepada penggunaan digital,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau, pelajar hari ini membesar dalam persekitaran yang pantas, interaktif dan terdedah kepada teknologi justeru, pendekatan pembelajaran juga perlu berubah mengikut arus semasa.
Tambahnya, dapatan kajian oleh sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2023 menunjukkan proses pembelajaran tanpa penglibatan aktif menyebabkan tahap pemahaman pelajar menjadi terhad.

“Apabila pelajar tidak faham, keyakinan diri mereka turut terjejas dan mula beranggapan negatif terhadap kemampuan sendiri, sedangkan potensi sebenar mereka jauh lebih besar,” ujarnya.
Sehubungan itu, StudyBuddy Online Tuition memperkenalkan pendekatan pembelajaran berfokuskan pelajar dengan menekankan interaksi dua hala antara guru dan pelajar.

“Guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi memastikan pelajar benar-benar faham melalui kaedah interaktif seperti soal jawab, respons aktif dan pemikiran kritis.
“Dengan cara ini, pelajar bukan lagi pasif, sebaliknya menjadi lebih terlibat dalam proses pembelajaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan akses pendidikan berkualiti kepada golongan kurang berkemampuan termasuk pelajar yatim dan asnaf.
“Ia penting supaya tiada pelajar yang tercicir dalam arus pendidikan,” katanya.
StudyBuddy Online Tuition menawarkan yuran serendah RM30 sebulan bagi setiap subjek dengan tenaga pengajar terdiri daripada guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta tenaga pengajar institusi pengajian tinggi.
“Ibu bapa perlu faham bahawa pendidikan bukan sekadar peperiksaan, tetapi juga membina keyakinan dan potensi anak untuk masa depan.
“Saya percaya tiada pelajar yang lemah, kita hanya belum menemukan kaedah pembelajaran yang sesuai untuk mereka,” katanya.


