Rumah Bangsa jadi gagasan kepusatan seluruh kuasa politik Melayu – Khaled

GAGASAN Rumah Bangsa yang diperkenalkan UMNO bukan sekadar membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali ke pangkuan parti, tetapi juga dirangka sebagai platform besar untuk memusatkan kekuatan politik Melayu secara holistik.

Pengerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, konsep itu membawa dimensi lebih luas apabila menjadikan UMNO bukan hanya parti politik, tetapi juga wadah utama yang menghimpunkan idea, kepakaran dan aspirasi bangsa Melayu.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebagai sebuah kepusatan politik Melayu, UMNO boleh bertindak sebagai pencetus segala perubahan politik demi kebaikan bangsa Melayu pada masa depan.

Menurutnya, Rumah Bangsa bukan sebuah lagi perikatan politik dan bukan satu lagi gabungan pelbagai pergerakan politik dengan pelbagai ideologi dan pendekatan. Rumah Bangsa strategi kepusatan untuk menjadikan UMNO satu-satunya institusi bangsa Melayu yang menjamin kepentingan politik bangsa Melayu.

“Bersuara sebagai satu suara bangsa Melayu dan ia akan menjadi arena terpenting untuk sesiapa sahaja berbincang, mengusulkan dan mencari pencerahan untuk segala kemaslahatan bangsa Melayu.

“Rumah Bangsa itu adalah idea jika diperluaskan konsepnya dapat menonjolkan UMNO itu lebih besar daripada hanya sebuah parti politik,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Mohamed Khaled berkata, gagasan ini harus dimanfaatkan untuk menampilkan imaginasi lebih unggul bagi UMNO sebagai institusi terpenting bangsa Melayu dan memberitahu mereka, parti itu pemangkin terpenting yang sudah dan akan menaungi bangsa dalam apa keadaan sekalipun.

“Tidak hadir bermusim tidak berperanan hanya kala berada di puncak. UMNO sama ada dalam keadaan disukai atau disanjung, pengabdiannya adalah pada agama bangsa dan tanah air semata-mata.

“Lalu melalui gagasan rumah bangsa ini, orang Melayu perlu disedarkan bahawa UMNO ini sentiasa membuka semua ruang dan peluang dengan seluas-luasnya bagi semua orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu wajar disedarkan bahawa ketidaksatuan bangsa adalah kunci kepada segala kemunduran sesebuah bangsa, maknanya segala bentuk perpecahan akan merencatkan keupayaan bangsa untuk lebih mandiri dan berkuasa.

Mohamed Khaled berkata, tanpa sebuah kepusatan politik Melayu, kepentingan Melayu akan terhakis dan terancam secara sistematik.

“Tidak mungkin kepentingan politik bangsa Melayu dapat diketengahkan tanpa kekuatan politik. Apatah lagi jika tiada kesatuan suara dan iltizam. Menjadi pengkritik di medan maya atau di platform apa sekalipun tidak akan menjadikan bangsa kita maju tanpa sebuah pergerakan politik yang kukuh dan juga unggul.

“Maknanya idea pembaharuan dan perubahan itu hanya boleh diperjuangkan secara sistematik melalui pergerakan politik dan juga terpusat, berautoriti, sistematik dan kemas,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img