Pas sifatkan penganjuran Festival Air umpama disko terbuka berskala besar

PAS menyifatkan penganjuran Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya selama tiga hari minggu ini umpama sebuah disko terbuka berskala besar.

Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, adalah lebih sesuai jika festival itu dianjurkan oleh pihak swasta secara tertutup dan terhad kerana sifatnya yang mengundang kontroversi.

Selain itu beliau berkata, penganjuran festival muzik itu yang berakhir hari ini juga tidak inklusif.

“Ia tidak harus diangkat sebagai acara utama kerajaan, apatah lagi diuar-uarkan sebagai acara utama promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Lebih parah, episod ini turut menyerlahkan realiti ketandusan idea dan imaginasi yang membimbangkan dalam dasar dan penggerak utama pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, Malaysia memiliki aset alam, budaya, sejarah dan warisan yang luar biasa dan dicemburui oleh banyak negara.

Katanya, kekuatan Malaysia bergantung pada identiti tulen termasuk bandar dan lokasi warisan, hutan hujan, pulau-pulau, makanan, seni tradisional, pelbagai perayaan.

Acara itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang menyifatkan penganjuran festival itu tidak mencerminkan identiti Malaysia.

Mohamed Sukri juga berkata, acara sedemikian tidak sepatutnya meniru acara jalanan luar negara yang mungkin tidak sesuai dengan keadaan tempatan.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mempertahankan acara itu berkata, penyertaan adalah secara sukarela dan menasihatkan mereka yang merasakan ia tidak sesuai supaya tidak mengambil bahagian.

“Tiada siapa dipaksa (untuk hadir ke acara ini). Kita mesti belajar menghormati pilihan orang lain,” katanya, sambil menambah bahawa acara itu tidak sepatutnya dipolitikkan atau dikaitkan dengan isu perkauman.

Takiyuddin dalam kenyataan itu berkata, Pas turut kecewa maklum balas semberono dan tidak cermat King Sing terhadap pengkritik.

Katanya, kenyataan sedemikian tidak wajar sama sekali diucapkan oleh seorang bertaraf menteri, lebih-lebih lagi beliau individu yang diamanahkan tugas memaju dan mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan dihormati.

Menurutnya, kritikan disuarakan banyak pihak, termasuk dalam kalangan pemimpin kerajaan sendiri, bukanlah tidak munasabah atau melampau tetapi berkisar persoalan serius seperti kesopanan awam, kesesuaian tempat, keselamatan dan sensitiviti budaya.

“Isu-isu ini menuntut penjelasan dan libat urus yang bermutu dan bermaruah, bukannya tempelak dan pelecehan oleh seorang menteri Persekutuan,” kata Takiyuddin.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img