Pemandu bas persiaran terbabit kemalangan direman 7 hari

SEORANG pemandu bas persiaran direman tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang membabitkan kenderaan dipandunya membawa lapan pelancong warga India.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 55 tahun itu dikeluarkan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin bermula hari ini hingga 11 Mei depan selepas lelaki itu didapati positif dadah susulan kejadian berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan kecuaian pemandu ketika berada di bawah pengaruh bahan terlarang sehingga mengakibatkan penumpang mengalami kecederaan.

Berdasarkan rekod ini bukan kali pertama kes membabitkan pemandu pengangkutan awam positif dadah dibawa ke muka pengadilan, malah sebelum ini dua kes seumpamanya turut direkodkan di Melaka.

Media semalam melaporkan seorang pemandu bas persiaran ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sintetik sehingga terbabit dalam kemalangan di Kilometer 213.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan dekat Alor Gajah.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika van berkenaan membawa lapan warga India dari Kuala Lumpur menuju Melaka, menyebabkan tiga daripada mereka cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abubakar berkata, pemandu berusia 55 tahun itu tidak mengalami kecederaan, namun ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, bas persiaran itu terbabas dan terperosok di bahu lebuh raya menyebabkan tiga penumpang iaitu seorang lelaki berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 13 tahun cedera sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img