BEKAS Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hadir untuk memberi keterangan untuk hari ketiga hari ini berhubung siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah menyambung rakaman percakapan Rafizi selama lima jam di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, Rafizi tiba di ibu pejabat SPRM sekitar jam 2 petang.
“Rakaman percakapan beliau pada hari ketiga telah selesai kira-kira jam 7 malam. Rakaman percakapan akan bersambung untuk hari keempat esok yang dijangka dibuat sebelah pagi,” katanya.
Sementara itu, Rafizi selepas selesai diambil keterangan hari ini mendakwa, segala urusan berkaitan dokumen dan perjanjian berhubung pelaburan RM1.1 bilion dengan Arm Holdings dilakukan secara teratur serta mematuhi prosedur yang telah ditetapkan.
Menurut beliau, semua rekod penting termasuk minit mesyuarat, dokumen rasmi serta perjanjian berkaitan sememangnya wujud dan yakin bahawa bukti-bukti itu boleh dikemukakan di mahkamah, jika perlu.
“Minit, dokumen dan perjanjian iu semua memang dah ada… jadi, sebab itu saya sangat yakin sebenarnya ia teratur dan terurus dari segi peraturan dan prosedurnya sebagaimana yang saya ingat telah melalui prosesnya dahulu semasa saya dalam kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan ibu pejabat SPRM malam ini.


