POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga asing dipercayai mengamuk dalam keadaan mabuk hingga merosakkan harta benda di sebuah restoran dim sum di Jalan Klang Lama, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.56 pagi itu, suspek disyaki warga Nigeria dipercayai bertindak agresif dengan menterbalikkan beberapa meja di premis berkenaan sehingga menyebabkan kerosakan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik restoran pada jam 11 pagi, 5 Mei lalu.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pengadu tidak mengenali suspek dan baru pertama kali melihat lelaki terbabit.
“Suspek bertindak menterbalikkan meja di sekitar lokasi kejadian sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.
“Tiada individu mengalami kecederaan sepanjang kejadian berlaku, namun ramai pelanggan melarikan diri kerana takut dicederakan suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian,” ujarnya.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi turut mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam insiden berkenaan.
“Usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya.


