Empat ahli ‘Geng Guangxi’ dipenjara, didenda curi wang pelancong

EMPAT lelaki warga China dipercayai terbabit dalam kegiatan seluk saku di kawasan tumpuan pelancong sekitar Jonker Walk menerima padah apabila didenda dan dipenjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan selepas semua tertuduh mengaku bersalah mencuri beg duit milik seorang pelancong warga China di sebuah premis minuman di Jonker Walk, bulan lalu.

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Qing Xiaomin, 54, Yan Chaoyang, 63, dan Lu Yongde, 60, atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Seorang lagi tertuduh, Dong Huangbing, 62, pula dipenjara empat bulan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama mencuri beg duit mengandungi wang tunai RM7,000 milik pelancong warga China, Milk Sun LiangLiang di Coconut Shake Store, Jonker Walk pada jam 10.25 pagi, 25 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa hanya menyedari beg duit berisi wang tunai dan kad kredit miliknya hilang selepas membeli minuman di premis berkenaan sebelum mendapati beg silangnya telah dibuka.

Susulan laporan dibuat, sepasukan polis dari Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan semua suspek.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mengesahkan kehadiran suspek di lokasi kejadian selain beberapa barangan rampasan sepadan dengan rakaman diperoleh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin manakala semua tertuduh diwakili peguam Mona Leonard Lubon.

Sementara itu, Dong bersama seorang lagi warga China, Li Gang, 52, turut dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di negara ini.

Dong didapati tinggal lebih masa selama 13 bulan manakala Li Gang selama lima bulan.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.

Semalam, media melaporkan kegiatan kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Guangxi’ yang aktif melakukan kegiatan seluk saku di kawasan pelancongan negeri ini berjaya ditumpaskan selepas lima warga asing diberkas polis minggu lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img