Polis tumpas sindiket dadah lebih RM16 juta guna kereta terpakai di Tawau

KEGIATAN sindiket pengedaran dadah yang menjadikan Tawau sebagai hab transit penyeludupan narkotik ke negara jiran terbongkar selepas polis merampas methamphetamine dan fentanyl bernilai RM16.34 juta menerusi Ops Hymenoptera, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dijalankan pada 21 April dan 1 Mei lalu itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 52 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di Batu 15, Jalan Apas, polis merampas 128 peket plastik lut sinar disyaki mengandungi methamphetamine seberat 130.60 kilogram serta sebuah Toyota Harrier.

“Hasil semakan mendapati suspek pertama positif methamphetamine dan amphetamine serta dipercayai bertindak sebagai penghantar dadah, manakala seorang lagi adalah ahli sindiket.

“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu dua lagi kenderaan iaitu Nissan Sylphy dan Toyota Camry di Bandar Sri Indah, Batu 10,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui methamphetamine seberat 90.41 kilogram dan cecair disyaki fentanyl seberat 0.98 liter dalam Nissan Sylphy.

Katanya, polis turut menemukan 99 peket plastik lut sinar disyaki methamphetamine seberat 102.90 kilogram dalam Toyota Camry.

Hussein berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan pelucuthakan harta turut diambil dengan sitaan berjumlah RM34,000.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan kenderaan terpakai untuk menyembunyikan dadah di ruang khas sebelum dibawa dari Pelabuhan Sepanggar ke Tawau,” katanya.

Beliau berkata, Tawau dipercayai dijadikan pintu transit penyeludupan dadah bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah ke negara jiran.

Katanya, siasatan juga mendapati bekalan dadah itu dipercayai dibawa dari kawasan ‘Segi Tiga Emas’ atau dari utara Semenanjung sebelum diseludup masuk ke Sabah dan Sarawak.

“Polis percaya dalang utama sindiket sudah melarikan diri ke luar negara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img