MYKAD versi baharu yang dijangka mula diperkenalkan bulan depan akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan, berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata antara ciri keselamatan baharu ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkat.
“Yang pastinya ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
“Pelancaran akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri apabila tiba masanya dan di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kita telah bersedia untuk tujuan tersebut,” katanya lapor Buletin TV3.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Temu Mesra Pengurusan JPN Bersama Media, Putrajaya , hari ini.
Beliau turut memaklumkan MyKad baharu itu tidak akan dilengkapi dengan elemen Touch ‘N Go.
Badrul Hisham berkata pelaksanaan MyKad baharu itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan keselamatan identiti rakyat selaras dengan perkembangan teknologi dan cabaran keselamatan semasa.
Katanya, selain MyKad, MyPoCA dan MyTentera turut akan menampilkan versi baharu bulan depan.


