PERINTAH pembubaran sementara terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaksanakan sepenuhnya mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Dalam satu kenyataan jabatan itu memberitahu, perintah dikeluarkan berdasarkan penelitian terhadap ketidakpatuhan berterusan, terhadap arahan bertulis yang dikeluarkannya sebelum ini.
Menurut kenyataan berkenaan, tindakan diambil susulan kegagalan MTUC mematuhi arahan JPPM bertarikh 6 April tahun ini, khususnya berkaitan penyerahan penyata kewangan dan kunci kira-kira yang telah diaudit, termasuk maklumat berhubung kewangan atau harta yang diterima daripada sumber luar negara bagi tempoh 2020 hingga 2025.
“Setiap tindakan pengawalseliaan dilaksanakan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Jabatan ini tidak dipengaruhi oleh sebarang kepentingan mana-mana pihak dan setiap keputusan dibuat berdasarkan penelitian dokumen, fakta serta pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan,’’ kata kenyataan tersebut.
JPPM memberitahu MTUC mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.
“Sekiranya tiada rayuan dikemukakan dalam tempoh tersebut atau rayuan ditolak, perintah pembubaran sementara berkenaan akan berkuat kuasa secara muktamad selaras dengan peruntukan undang-undang,” kata JPPM
MTUC merupakan badan induk terbesar di negara ini yang mewakili kesatuan sekerja dan kepentingan pekerja.


